GO UP
Image Alt

Muzium Kota Kayang

Muzium Kota Kayang

Muzium Kota Kayang di Kuala Perlis merupakan sebuah kompleks sejarah terkenal di Perlis dan menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah Perlis. Muzium ini dikelilingi bukit batu kapur yang bertindak sebagai kubu atau halangan semulajadi dari serangan musuh pada zaman dahulu. Selain itu, di hadapan muzium ini terdapatnya sebuah terusan yang dipercayai pernah menjadi laluan menghubungkan Kota Kayang, Kuala Perlis dan Alor Setar. Bangunan Muzium Kota Kayang dibina diatas tapak arkeologi bersejarah negeri Perlis, dan bangunan muzium ini telah dibina semula dengan reka bentuk yang sama persis dengan dengan senibina Rumah Perlis. Banyak artifak bersejarah ditemui semasa kerja ekskavasi di tapak binaan bangunan muzium sekarang.

Muzium Kota Kayang dibawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara dan menyimpan artifak bersejarah negeri Perlis. Terdapat dua bangunan yang dibina mengikut fasa yang berbeza. Bangunan A dibina pada tahun 1999 dan siap sepenuhnya pada tahun 2000. Bangunan A menempatkan tiga buah galeri iaitu, Galeri Arkeologi, Galeri Sejarah dan Galeri Senjata. Manakala, Bangunan B, siap dibina pada tahun 2006 menempatkan tiga buah Galeri iaitu Galeri Kebudayaan, Galeri Menteri Besar Perlis dan Galeri Diraja yang mengkhususkan kepada artifak Diraja Perlis.

Di bahagian belakang muzium terdapat Makam Almarhum Kayang Pertama iaitu Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-15 yang membangunkan Kota Indera Kayangan sebagai pusat pemerintahan Negeri Kedah. Selain itu terdapat juga Perigi Diraja Kota Kayang yang digunakan sebagai sumber air bersih oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah. Perigi ini sangat berjasa kepada penduduk di sekitar kerana perigi ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang. Terkini, Muzium Kota Kayang menempatkan Rumah Kelahiran DYMM Tuanku Raja Perlis (Rumah Hijau) yang dibawa daripada lokasi asal di Arau.