GO UP
Image Alt

Istana Arau

Istana Arau

Istana Arau terletak di Bandar Diraja Arau. Bangunan Istana Arau bermotifkan ciri-ciri moden dan Islam. Struktur binaan bangunan ini terdiri daripada campuran batu bata, simen, dan pasir. Bahagian bumbungnya pula mempunyai bentuk kubah kembar kiri dan kanan bangunan. Bangunan ini merupakan kediaman rasmi atau tempat kediaman (bersemayam) Raja-Raja Negeri Perlis. Ianya dibina sekitar tahun 1905 semasa zaman pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail. Selepas kemangkatan Tuanku Syed Alwi, Istana Arau didiami pula oleh Tuanku Raja Syed Safi Jamalullail, Tuanku Syed Hamzah Jamalullail dan Tuanku Syed Putra Jamalullail. Selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mangkat, bangunan Istana Arau tidak didiami oleh pengganti berikutnya.

Istana Arau mempunyai beberapa ruang khas dengan fungsi tertentu. Balairung Seri yang terletak di tingkat atas mempunyai Singgahsana Diraja dan berfungsi sebagai tempat berlangsungnya istiadat- istiadat kebesaran seperti Istiadat Pertabalan dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri. Dewan Bankuet yang terletak di tingkat bawah pula adalah ruang bagi Majlis Santapan Negeri dan majlis-majlis jamuan lain yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis.