GO UP
Image Alt

Masjid Lama Arau

Masjid Lama Arau

Masjid Lama Arau didirikan semasa pemerintahan Raja Syed Ahmad Jamalullail sekitar tahun 1873 hingga 1897. Tukang-tukang Arab dan Melayu merupakan antara tukang kayu yang diberi tanggungjawab untuk membina Masjid Lama ini. Bahagian tengah masjid diperbuat daripada batu manakala di bahagian lain kebanyakkannya diperbuat daripada kayu. Keluasan masjid pada ketika itu berukuran 60 kaki x 60 kaki persegi iaitu berbentuk empat segi tepat. Semasa pemerintahan Raja Syed Saffi Jamalullail, baginda membesarkan masjid dan menempah sebuah mimbar kayu yang dibuat di Pulau Pinang, dan mimbar ini siap sepenuhnya pada tahun 1905. Kini, mimbar tersebut telah berusia lebih seratus tahun dan ia masih digunakan hingga ke hari ini sebagai mimbar di Masjid Negeri, Arau.

Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail, ruang beranda telah diperbesarkan di sekeliling masjid. Beberapa tahun kemudiannya pula dibuat lagi tambahan bangunan di sebelah kanan dan kiri masjid yang kelihatannya seperti bersayap bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Sekali lagi Masjid Lama Arau telah mengalami pelbagai perubahan semasa pemerintahan Raja Syed Putra Jamalullail. Atap masjid, lampu, tikar dan segala kelengkapan masjid telah ditukar dengan yang baru. Walau bagaimanapun, pada tahun 1973 Masjid Negeri yang baru telah dibina menggantikan Masjid Lama Arau.