Jujukan Sedimen Bukit Chondong
Bukit Chondong teretak di Beseri, Perlis. Tapak warisan geologi atau geotapak di Bukit Chondong ini merupakan sebuah kuari tanah di bahagian bawahnya dan tidak jauh diatasnya terdapat bukit batu kapur yang bertebing curam. Singkapan kuari di bawah mendedahkan singkapan jujukan paling atas batuan klastik Formasi Kubang Pasu setebal 80m kemudian ditindih oleh jujukan batu kapur Formasi Chuping. Lapisan miring 30-60o ke arah timur.
Litologi utama Formasi Kubang Pasu ialah batu lumpur, batu lodak, batu pasir lapisan kokina dan beberapa lapisan batu kapur. Struktur sedimen seperti lapisan silang ‘hummochy’, struktur greded, riak dan lapisan bergelombang ditemui kebanyakannya dalam batu pasir. Secara umumnya bahagian bawah jujukan banyak batu lumpur dan batu lodak dan makin ke atas jujukan batu pasirnya makin banyak, iaitu memperlihatkan jujukan mengkasar ke atas. Unit berkapur lapisan kokina dan lapisan berkapur terdapat di bahagian atas jujukan.