Gua Bukit Keteri
Bukit Keteri terletak di utara kilang simen di Bukit Chuping. Bukit Keteri adalah salah satu tempat yang mempunyai pemandangan panorama menarik di Perlis, yang mana bukit ini dikelilingi oleh sawah padi yang luas. Terdapat aktiviti memanjat ke puncak bukit dan juga ‘wall climbing’. Bukit Keteri bentuknya memanjang hampir 600m ke arah utara-selatan dengan kelebaran 20- 50m, dan mempunyai dua puncak. Gua boleh diperhatikan pada beberapa aras ketinggian. Aras bawah di kaki bukit kadang-kadang berair di musim hujan dan terdapat gua yang terletak pada aras perten-gahan bukit.
Keseluruhan bukit terdiri daripada lapisan batu kapur Formasi Chuping yang berusia kira kira 290 juta tahun dahulu. Suatu masa dahulu petani di sekitar bukit ini mengambil tahi kelawar daripada gua-gua yang ada untuk dijadikan baja tanaman. Bukit ini pernah digunakan oleh manusia pra-sejarah. Terdapat tengkorak, serpihan tulang haiwan dan cengkerang serta alat batu ditemui di bahagian kaki bukit. Tapak di Bukit Keteri ini mempunyai kepentingan saintifik, penyelidikan, rekreasi dan juga arkeologi, dan bertaraf kebangsaan.