GO UP
Image Alt

Taman Eko-Rimba Bukit Kubu

Taman Eko-Rimba Bukit Kubu

Kawasan ini terletak di Kuala Perlis, Perlis dan telah diwartakan menjadi sebahagian Hutan Simpan Kekal pada 14 Julai 2022 seluas lebih kurang 176.7 hektar yang dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Papan, dan menjadi tempat beriadah yang sering dikunjungi penduduk di kawasan Kuala Perlis. Kawasan ini mula dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1992 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas bagi menyokong aktiviti pengunjung seperti denai pendakian, wakaf dan pondok rehat, tandas dan pejabat pengurusan. Kawasan ini agak unik kerana ia memiliki ketinggian yang mencapai 150 hingga 200 meter dari aras laut disamping terdapatnya gua semulajadi seperti Gua Ikan dan Gua Harimau di mana pintu masuk setiap gua tersebut terdapat beberapa kolam semulajadi yang sangat besar. Terdapat sebuah tasik yang dinamakan sebagai Tasik Puteri terletak di bahagian tengah hutan lipur ini yang berkeluasan 2 hektar. Pengunjung dapat melihat pekan Kuala Perlis dan Langkawi apabila berada di puncak bukit ini. Di sepanjang denai pendakian, pengunjung berpeluang untuk melihat pelbagai spesies flora dan fauna terdapat di sini. Taman Eko-Rimba Bukit Kubu sangat sesuai bagi pengunjung yang suka kepada aktiviti riadah seperti bersenam, berjoging, meneroka gua-gua semulajadi dan juga mendaki gunung.