Kolam Air Timbul
Kolam Air Timbul terletak di tengah kawasan persendirian Malayan Sugar Manufacturing (MSM) di dalam kawasan Kampung Air Timbul, tidak jauh daripada Bukit Jernih. Kolam ini sangat istimewa kerana punca airnya datang daripada bawah tanah (mata air) timbul ke permukaan dan membentuk tiga takungan kecil. Pergerakan air yang sangat jernih naik (timbul) ke permukaan ini boleh diperhatikan dengan jelas dan kadang-kadang timbul bersama-sama dengan buih.
Air kolam ini tidak pernah kering walaupun disedut (dipam) dengan jumlah yang banyak untuk kegunaan penempatan FELDA. Air daripada kolam ini juga diguna untuk mengairi sawah dan mengalir ke dalam sungai kecil. Ini bermakna ada satu saliran air bawah permukaan yang keluar ke kolam ini. Fenomena ini jarang ditemui di Malaysia, dan perlukan kajian saintifik untuk memahami kejadian alam ini.