Kolam Travertin Bukit Ayer
Tapak Warisan Geologi Kolam Traventin Bukit Ayer terletak di Sungai Batu Pahat, dalam kawasan Eko-Rimba Bukit Ayer. Tapak Bukit Ayer terdiri daripada Formasi Setul terbentuk pada sekitaran lautan pada sekitar 480 juta tahun dahulu. Di sekitar kawasan ini terdapat beberapa blok batu kapur stromatolit berbentuk tabular. Keunikan yang terdapat di kawasan ini ialah kewujudan travertin di sepanjang aliran sungai permukaan sekitar 30 meter lebar dan 800 meter panjang. Enapan travertin ini turut membentuk beberapa air terjun kecil dan sebuah kolam kars yang agak luas. Kehadiran travertin pada geotapak membuatkan dasar sungai seperti diselaputi simen yang berwarna krim.
Pembentukan travertin di kawasan terbuka jarang berlaku kerana laz-imnya travertin terbentuk di dalam kawasan gua, menghasilkan batu alir dan teres kolam berbingkai. Secara teorinya, punca air mata air daripada Bukit Ayer mengalir dan melarutkan batu kapur Formasi Setul iaitu kalsium karbonat (CaCO3) di dalam gua membawa ke kawasan Air Terjun Bukit Ayer dan mengalami proses pemendakan yang membentuk beberapa empangan berskala kecil di sepanjang sungai. Bonjolan pada permukaan simen empangan menjadi tidak sekata adalah disebabkan pembiakan alga hijau yang dikenali sebagai Vaucheria ketika berlakunya pemendakan. Pembentukan traventin dalam sungai adalah kejadian yang ditemui di Malaysia, jadi tapak ini berkepentingan saintifik dan rekreasi yang tinggi dan bertaraf kebangsaan