Longgokan Cengkerang Kuno Bukit Kubu
Geotapak Bukit Kubu terletak di pinggir bandar Kuala Perlis. Geotapak ini mengadap arah barat, dikelilingi kawasan dataran alluvium (sawah padi dan kawasan perbandaran) di hadapannya. Di kaki bukit ada satu tasik dan fitur takik terdapat di bahagian kaki bukit. Takik ini berkemungkinan terbentuk semasa aras laut kuno pada masa dahulu, atau boleh juga oleh proses sungai sekarang. Terdapat beberapa buah gua di geotapak ini yang dikenali sebagai Gua Harimau dan Gua Ikan. Gua-gua ini tidaklah besar tetapi mempunyai speleoterm seperti stalaktit, stalakmit, tiang serta batu alir. Satu fitur menarik di tapak ini ialah terdapatnya satu longgokan cengkerang kuno di tiang kolam.
Cengkerang ini merupakan tinggalan hidupan laut cetek kuno dan yang paling banyak ialah spesies seperti Anadara (bivalvia). Longgokan cengkerang seperti ini dilaporkan di beberapa tempat di Langkawi, yang memberi usia aras laut kuno dalam julat empat ribu hing-ga 7 ribu tahun. Tapak di Bukit Kubu ini penting, bertaraf kebangsaan dan mempunyai nilai saintifik tinggi kerana di sini sa-haja yang ada longgokan cengkerang kuno di Perlis Geopark. Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah membina kemudahan jalan, pondok pengawal, tandas serta tangga untuk kemudahan pengunjung naik ke gua dan ke puncak bukit. Pondok rehat juga dibina di puncak bukit untuk tempat rehat. Geotapak ini sesuai dijadikan kawasan rekreasi pendudukan tempatan.