Permatang Kars Bukit Lagi
Bukit Lagi terletak di pinggir bandar Kangar, dan ianya merupakan sebuah permatang kars sepanjang 2 kilometer, memanjang pada arah utara-selatan. Batuan permatang Bukit Lagi merupakan unit bawah daripada batu kapur Formasi Setul yang berusia 480 juta tahun, kaya dengan pelbagai spesies fosil sotong kuno nautiloid serta beberapa kumpulan fosil lain seperti gastropod,brakiopod dan alga. Beberapa struktur geologi yang ditemui di sini iaitu takit laut kuno, batu kapur struktur cendawan dan tengkorak serta gua-gua kecil yang cantik. Geotapak Bukit Lagi adalah khazanah warisan saintifik kebangsaan yang patut dipulihara. Pelbagai program dan aktiviti lasak dilakukan di sekitar geotapak ini seperti mendaki Bukit Lagi melalui geotrail yang sedia ada, bersenam, berbasikal, berjalan kaki, aktiviti panjat dinding bukit (wall climbing) dan lain-lain lagi. Kemudahan awam yang serba lengkap telah disediakan untuk keselesaan pengunjung di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).