Rijang Bukit Tuntung
Kuari Bukit Tuntung terletak kira-kira 25 km timur Kangar, dalam daerah Arau di Perlis. Bukit Tuntung merupakan kuari tanah yang masih aktif. Singkapan memperlihatkan perlapisan yang tercangga dengan adanya lipatan isoklin dan sesar. Di bahagian barat kuari tersingkap lapisan berusia Karbon Awal yang terdiri daripada batu lumpur/sabak hitam dan kemerahan. Perlapisan ini telah terbalik (overturned) dan merupakan sebahagian daripada Formasi Mahang (Basir et al. 2010). Formasi Mahang ini kelihatan telah ditindih oleh perlapisan batuan rijang yang berlipat. Batuan rijang ini yang berlipat. Batuan rijang ini mengandungi fosil radiolaria Stigmosphaerostylus variospina (Won) dan Callela hex-actinia Won yang menunjukkan usia Tournaisian, Karbon Awal. Rijang ini merupakan bahagian bawah Formasi Kubang Pasu. Selain fosil radiolarian, bahagian bawah Formasi Kubang Pasu terdapat juga fosil Posidonomya sp. dan Malayanoplia convexa Hamada. Formasi Mahang dan bahagian bawah jujukan Formasi Kubang Pasu di lokaliti ini mencadangkan pengendapan berlaku di sekitaran laut dalam. Tapak di Bukit Tuntung ini sangat penting, bertaraf kebangsaan dan mempunyai nilai warisan saintifik yang tinggi kerana di sini terdapat sempadan stratigrafi antara Formasi Mahang dan Formasi Kubang Pasu.