Rimba Herba Perlis
Rimba Herba Perlis ini terletak di bawah satu (1) kompleks pengurusan hutan yang sama dengan Taman Eko-Rimba Bukit Ayer yang menempatkan koleksi tumbuh-tumbuhan ubatan yang digunakan oleh penduduk setempat. Koleksi tumbuhan yang terdapat di sini terdiri daripada tumbuhan liar yang sedia ada di taman ini (in-situ), tumbuh-tumbuhan ubatan yang didatangkan dari tempat lain (ex-situ) dan tumbuh-tumbuhan ubatan yang berasal dari negara lain tetapi telah lama diperkenalkan di negeri ini.
Dianggarkan sebanyak 721 spesies herba ada dikawasan ini yang terdiri daripada spesies Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekur, Halia, Serai, Mengkudu, Selasih, Kayu manis dan lain-lain lagi. Selain itu, beberapa tumbuhan di sini merupakan tanaman yang lazimnya ditemui di sekeliling rumah seperti bunga raya, bunga tahi ayam, senduduk, pokok kapal terbang, sirih, kesum, pokok pinang dan pokok pisang. Tumbuhan-tumbuhan ini dipamerkan melalui 12 laman yang telah dikenalpasti untuk mengubati yang terdiri daripada Laman Wangi, Laman Patah, Laman Bidan, Laman Orkid, Laman Pegaga, Laman Kanser, Laman 4 Serangkai, Laman Buasir, Laman Tenaga Batin, Laman Dadah dan Laman Gout untuk memberi kefahaman kepada pelawat terhadap nilai sebenar tumbuh-tumbuhan ubatan kepada pengunjung.