Stratigrafi & Fosil Guar Sanai
Guar Sanai terletak berhampiran dengan Empangan Timah Tasoh iaitu di Kampung Guar Jentik. Guar Sanai ini merupakan sebuah kuari tanah yang masih aktif. Sempadan bahagian atas Formasi Setul dan bahagian bawah Formasi Kubang Pasu terdapat di sini (Rajah E9) seperti dilaporkan oleh Lee (2001) dengan kewujudan lobolith Scyphocrinites berusia Silur Akhir. Perkara yang paling menarik dalam aspek geologi adalah kewu-judan fosil yang banyak dalam batu lumpur yang terletak di bahagian atas Formasi Setul. Fosil-fosil yang telah dikenal pasti ialah Nowakia acuaria, Styloilina sp., Plectodonta forteyi, Quasiprosserella samedensis, dan Monograptus sp. Himpunan fosil ini menunjukkan usia Devon Awal.
Singkapan bahagian bawah Formasi Kubang Pasu yang kaya dengan fosil seperti bivalvia Posidonomya sp, karang Rugosa, brakiopod Tornquis-tia burtonae Hamada, Malayanoplia demiluna Hamada, Malayanoplia convexa Hamada, Emanuella malay-ensis Hamada, trilobit Cyrtosymbole perlisensis Kobayashi dan Hamada, Cephalopoda Goniatites sp., dan Pro-tocanites sp. Tapak ini sangat penting kerana mempunyai nilai saintifik yang sangat tinggi di peringkat global kerana fosil yang ada boleh dibuat korelasikan stratigrafi dengan pihak Thailand. Lokaliti ini menjadi tapak penyelidikan dan pengajaran kepada pelajar jurusan geologi tempatan.