‘Penyanyi di hutan’ ditemukan di Perlis
KANGAR: Ungka tangan putih atau lar gibbon (hylobates lar) salah satu daripada tujuh spesies primat, ditemukan di kompleks hutan Perlis Geopark, Bukit Ayer di sini terutama di sepanjang Banjaran Nakawan.
Ungka tangan putih adalah spesies terkecil dalam kalangan ‘ape’ yang terdiri daripada orang utan, chimpanzee dan gorila.
Spesies tersebut menghabiskan sepenuh hidupnya dengan bergayut daripada pokok ke pokok, berkomunikasi menggunakan vokal lantang yang kedengaran di seluruh habitatnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Perlis Nature & Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, spesies berkenaan menggemari pucuk-pucuk daun,buah-buahan,bunga-bungaan dan serangga sebagai sumber protein daripada paras kanopi hutan.
Malah katanya, ungka tangan putih tersebut turut minum daripada sumber air hujan yang bertakung di lubang atau kaviti pokok.
“Kita mungkin pernah mendengar bunyi mendayu, sayup-sayup dan saling bersahutan di kompleks hutan ini dari kejauhan tanpa mengetahui pemiliknya yang sebenar.
“Itulah sebenarnya ungka tangan putih, spesies terkecil dalam kalangan ‘ape’ yang terdiri dari orang utan, chimpanzee dan gorila,” katanya.
Tambah Syamil, tangan spesies berkenaan yang panjang dan kuat melebihi badannya digunakan untuk bergayut dan bergerak senyap serta pantas di celahan rimbunan pokok sekiranya ia berasa terancam di kawasan persekitarannya.
“Jadi amat sukar dan mungkin tidak sempat untuk kita melihat kelibatnya sebelum ia terlebih dahulu melihat kita kerana spesies berkenaan sangat pemalu dan sensitif meskipun ia dikenali sebagai ‘penyanyi di hutan’.
“Laungan vokal ungka tangan putih yang didengari sepanjang masa di sesebuah kawasan hutan itu turut menjadi indikator kepada sejauh mana perkembangan populasi spesies berkenaan dipengaruhi oleh habitat yang sihat dan terpelihara sebagai sumber diet hariannya selagi ia tidak dimusnahkan bagi pelbagai tujuan,” katanya.
Sementara itu, Syamil memberitahu, ungka tangan putih dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716, Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi sebarang pelanggaran akta berkaitan spesies dilindungi ini.
“Pewartaan hutan-hutan simpanan kekal sebagai Taman Negeri Perlis juga turut memberi nilai tinggi kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan spesies flora dan fauna.
“Kini tiba masanya pengiktirafan Perlis Geopark pula memainkan peranan yang sama demi kelestarian warisan biologi kita,” katanya.-UTUSAN
SUMBER:
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/penyanyi-di-hutan-ditemukan-di-perlis-2