GO UP
Image Alt

Perlis Geopark

Tuanku Syed Faizuddin rasmi promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ di Los Angeles

Tuanku Syed Faizuddin (tengah) ketika merasmikan promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Los Angeles. – Foto ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra

KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Sesi rangkaian industri berlangsung di 777 Tower di Figueroa Street anjuran Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles itu dihadiri 28 wakil penggiat industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, terdiri kalangan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, media serta ‘pempengaruh.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, disambut Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan serta Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia, selaku tuan rumah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika bertitah sangat menyokong sebarang pelaburan dalam eko-pelancongan kerana baginda percaya sektor itu akan menjadi satu trend pelancongan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Akbal melalui taklimat memaklumkan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 menyajikan destinasi dan produk eko-pelancongan yang ada di negeri itu seperti Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri, Tasik Timah Tasoh, selain lokasi strategiknya yang berdekatan Langkawi serta Pulau Pinang.

Katanya, Perlis adalah destinasi menarik untuk pengembaraan eko dan alam semula jadi.

“Kami sangat teruja untuk mempamerkan tarikan pelancongan yang indah dan unik di Perlis sebagai langkah penting dalam meletakkan negeri ini sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong AS, terutama bagi yang melawat Pulau Pinang dan Langkawi.

Tuanku Syed Faizuddin ketika berucap pada perasmian promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Los Angeles. – Foto ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra

“Perlis adalah sebuah negeri di Utara Malaysia yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dan keunikan tersendiri,” katanya.

Pada majlis itu juga, hadirin turut dihidangkan masakan istimewa ‘Kurma Daging Perlis’ sempena ‘Promosi Makanan Perlis’ dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, selain beberapa lagi jenis masakan tradisional Malaysia yang lain.

Tourism Malaysia merekodkan lebih tujuh juta kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada 2022 dan menyasarkan 16.1 juta pelancong antarabangsa disasarkan membabitkan RM49.2 bilion dalam penerimaan industri pelancongan ke Malaysia untuk 2023.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1136124/tuanku-syed-faizuddin-rasmi-promosi-perlis-undeniable-charm-di-los